Hari ini kita banyak menemui kegagalan dalam menyentuh hati manusia dan membawa mereka kepada Allah. Hari ini, kita jatuh semangat dan hilang kekuatan untuk meneruskan misi. Semuanya ini barangkali adalah kerana kegagalan hati kita untuk tetap berhubung dengan Allah taala. Adakah logik jika seorang pengembala kambing dengan mudah menarik gembalaannya ke kandang, jikalau si pengembala tadi tidak terlebih dahulu mendekati kandang itu?
Jawapan kepada permasalahan ini tak lain tak bukan adalah dengan kembali menyuburi iman dengan salah satu sunnah Nabi s.a.w, iaitu qiamullail. Jika qiamullail menjadi satu keperluan bagi orang muslim, maka ia adalah satu kemestian bagi seorang daie.
Di dalam surah Muzzammil ayat 1-6, mari kita teliti sebentar firman Allah taala ;
- يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ
- قُمِ اللَّيْلَ إِلاَّ قَلِيلا
- نِصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلا
- أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلا
- إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلا ثَقِيلا
- إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْءًا وَأَقْوَمُ قِيلا
Maksudnya;
- Hai orang-orang yang berselimut (Muhammad)
- Bangunlah untuk sembahyang di malam hari kecuali sedikit daripadanya
- Iaitu separuh daripadanya atau kurangilah sedikit dari separuh itu
- Atau tambahkan daripadanya, maka bacalah alQuran itu dengan perlahan-lahan
- Sesungguhnya telah Kami turunkan kepada mu (Muhammad) perkataan yang berat
- Sesunggunya bangun di waktu malam adalah lebih tepat untuk khusyu’ dan bacaan di waktu itu lebih berkesan
Ekstrak wahyu inilah yang mendorong Nabi kita – Muhammad s.a.w, dan orang-orang yang mengikuti jalan baginda untuk tetap bangun malam kerana mengharapkan bantuan dan kasih sayang Allah taala. Pada sepertiga malam itu, hamba Allah akan bermunajat dan mencetuskan puji dan puja, syukur dan doa, ta’zim dan kagum kepada Allah untuk semua ujian mahupun nikmat yang telah dia peroleh.
Andai tak mampu untuk solat panjang dan memanjatkan munajat yang mendayu-dayu, mungkin cukup sebagai permulaan untuk bertilawah alQuran beberapa helai, solat dua rakaat dan – cukup dengan yang sedikit lalu beristiqamah dengannya.
Beberapa Galakan untuk Qiamullail dari Allah!
ومن الليل فتهجد به نافلة لك عسى أن يبعثك ربك مقاما محمودا
Maksudnya ;
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. (Al-Isra’: 79)
انما يؤمن بئاياتنا الذين اذا ذكروا بها خروا سجدا وسبحوا بحمد ربهم وهم لا يستكبرون
تتجافى جنوبهم عن المضاجع يدعون ربهم خوفا وطمعا ومما رزقناهم ينفقون
Maksudnya ;
“Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur. Mereka merenggangkan diri daripada tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka.” (Surah as-Sajadah : 15 & 16)
ان المتقين فى جنات وعيون
ءاخذين مآ ءاتاهم ربهم انهم كانوا قبل ذلك محسنين
كانوا قليلا من الليل ما يهجعون
وبالاسحار هم يستغفرون
Maksudnya ;
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa akan ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).” (Surah az-Zariyat : 15 hingga 18)
Mengapa Perlu?
Kalau di akhir zaman ini kita banyak mendengar lagu-lagu yang memuji dan memuja kecantikan wanita dan cinta, maka pada waktu inilah sepatutnya kita menghanturkan sembah dan puji yang lebih hebat lagi untuk Pencipta wanita dan Pemilik segala cinta.
Kalau pada siang hari telah banyak dosa mata, telinga, hati dan lidah yang telah kita lakukan, maka pada masa inilah kita membuktikan pengharapan agar Allah mengampunkan.
Kalau diandaikan kita sudah suci, sudah bersih daripada dosa dan sudah banyak amalnya, bukankah Allah sangat suka mendengar hamba-Nya terus-terusan menyatakan syukur kepada-Nya pada waktu ini?
من أراد العلى سحر الليالى
Maksudnya ;
“Barangsiapa yang mahukan ketinggian, maka hendaklah dia bangun pada waktu malam”
Susah Untuk Bangun Malam : Apa Perlu Buat?
Peringatan Allah sudah lama tiba, tapi sebagai manusia yang lemah .. sudah tentu banyak saja alasan kita beri dan sekaligus kita kerap mengutamakan nafsu dalam diri. Para ulama’ terdahulu telah meninggalkan wasiat yang banyak membantu kita untuk berusaha menikmati ibadah yang satu ini, antara tips-tips mereka untuk bangun qiamullail adalah ;-
- Amalkan qailulah (tidur sebentar sebelum atau selepas zuhur) untuk dapatkan kesegaran bangun pada waktu malam.
- Menjaga masa tidur, tidak kerap stay-up dan tidak tidur lewat sangat.
- Tanamkan azam setiap kali sebelum tidur untuk bangun sebentar pada malam hari.
- Memelihara diri daripada melakukan dosa dan maksiat, kerana qiamullail adalah antara nikmat terbesar yang dikurniakan buat orang yang mahu menyucikan diri.
- Menjaga perut dari terlalu kenyang, kerana kenyangnya perut akan selalu membuatkan manusia mengantuk dan malas.
- Jika terjaga pada malam hari, teruslah bangun dari perbaringan dan mengambil wudhu’. Jangan ditangguh-tangguh amal soleh, kita tak tahu adakah ini masa terakhir yang sempat kita beramal sebelum ajal.
- Tidak / Kurangkan menonton movies atau aksi-aksi seram, kerana secara psikologi nya minda akan lebih cepat terpengaruh dengan melihat perkara-perkara sebegini yang akhirnya akan merugikan masa dan takut untuk bangun malam.
- Cari lah teman untuk berqiamullail, jika tiada kekuatan untuk bangun sendirian secara istiqamah.
- Mulakan dengan 2 rakaat yang mudah, tidak memberat-beratkan diri sebagai permulaan sehinggalah kita punya kekuatan untuk melaksanakan yang lebih berat lagi.
- Tidak bermegah dengan amal yang telah dilakukan dan sering muhasabah, kerana percaya bahawa semua amal soleh yang dilakukan adalah hasil kekuatan yang sumbernya hanyalah dari Allah.
Mari kita menyandarkan kekuatan kepada Pemilik Segala Kekuatan – Allah taala. Sudah banyak sebab dan kaifiah pembuka jalan untuk beramal, yang tinggal adalah pilihan kita untuk berada pada jalan menyucikan diri atau jalan kerosakan.
قد أفلح من زكاها
وقد خاب من دساها
Maksudnya ;
“Maka telah berjaya lah orang yang menyucikannya (jiwanya). Dan merugilah bagi orang yang mengotorinya.” (Surah Syams, ayat 9 & 10)
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment