TAZKIRAH: Dosa Boleh Halang Cahaya Ilmu
Banyak melakukan dosa
membuatkan hati seseorang itu rosak kerana bercampur antara baik dan
buruk. Maka jadilah hati seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad
s.a.w. yang bermaksud: "(Hati yang) tidak lagi menganggap baik perkara
yang baik dan tidak menganggap buruk perkara yang buruk, melainkan apa
yang disukai oleh hawa nafsunya".Orang yang banyak melakukan dosa
semakin renggang hubungannya dengan Allah dan orang mukmin lain. Ini
kerana apabila seseorang itu patuh kepada perintah Allah, ia dekat
kepadaNya.Orang yang sentiasa melakukan dosa selalu memandang perbuatan
dosa itu sebagai perkara kecil. Dalam hal ini, Ibnu Masud
berkata:"Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosanya seperti sebuah
bukit yang dibimbangi akan menimpanya. Manakala, seorang yang selalu
melakukan dosa akan memandang dosa itu seperti seekor lalat yang hinggap
di atas hidungnya".Dosa yang dilakukan itu akan membawa kehinaan,
manakala ketaatan pula dapat melahirkan kemuliaan kepada pelakunya.
Dalam hal ini Allah berfirman yang maksudnya:"Sesiapa inginkan
kemuliaan, maka sesungguhnya segala kemuliaan itu kepunyaan Allah
jua".Orang yang melakukan dosa berasa sempit dadanya, manakala mereka
yang taat lapang dadanya. Allah berfirman yang bermaksud:"Maka sesiapa
yang Allah hendak beri hidayat nescaya Allah memberi kelapangan dadanya
untuk menerima (ajaran) Islam. Sesiapa yang Allah hendak menyesatkan
nescaya Allah sempitkan dadanya dan dalam kesukaran seolah-olah ia
memanjat langit (kerana tidak cukup oksigen)".Dosa boleh menggelapkan
hati sebagaimana amalan kebajikan itu boleh menyinarinya.Ibnu Abbas
berkata: "Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati,
kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain.
Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati,
melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya".Dosa boleh
menghalang seseorang itu daripada mendapat cahaya ilmu. Satu ketika,
Imam Malik terpegun melihat Imam Syafie (masih remaja ketika itu) kerana
kepandaian dan kecerdikannya, lantas beliau berkata:"Sesungguhnya aku
melihat Allah mencampakkan ke dalam hati kamu cahaya, maka jangan kamu
padamkan cahaya iu dengan kegelapan maksiat".Dosa boleh menyebabkan
seseorang itu malas untuk membuat ketaatan. Seseorang pernah berkata
kepada Ibnu Masud: "Kami tidak mampu untuk bangun malam (untuk
beribadat)". Jawab Ibnu Masud: "Dosa kamu menjauhkan kamu (daripada
ibadat di waktu malam)".Oleh yang demikian, hampirilah kebajikan yang
akan memberi cahaya kepada hati dan jauhilah kejahatan yang boleh
menggelapkan hati seterusnya menghalang cahaya ilmu.(Dipetik dari buku
Bimbingan Semasa oleh Mohd Fauzi Mustaffa Al-Besuty.)
No comments:
Post a Comment